Apakah Yang Perlu Saya Lakukan Sekiranya Terbeli Barang Tiruan?

Pernahkah anda membeli barang secara dalam talian, tetapi akhirnya menyedar bahawa produk yang dibeli adalah berbeza dengan apa yang diiklankan?

 

Bagaimanakah kita mentakrifkan “berbeza dengan apa yang diiklankan”?

 

Sebenarnya, frasa tersebut merujuk kepada keadaan di mana barangan yang dibekalkan oleh penjual langsung tidak serupa dengan deskripsi yang diberikan.

 

Contohnya, sebuah lampu suluh yang dipasarkan mempunyai hayat bateri berjangka 2 jam, tetapi sebenarnya hanya mampu digunakan selama 5 minit sahaja.  

 

Pada masa yang sama, pembelian barang tiruan juga boleh dikira sebagai produk yang “berbeza dengan apa yang diiklankan”. 

 

Misalnya, penjual mempromosikan kasut sebagai produk asli. Namun, anda mendapati bahawa ia sebenarnya merupakan barang tiruan.

 

Perbuatan berikut boleh dianggap sebagai pengiklanan yang palsu atau mengelirukan.

 

Menurut Seksyen 10 Akta Perlindungan Pengguna 1999, sebarang representasi palsu atau mengelirukan adalah menyalahi undang-undang. Jika sebuah syarikat disabitkan, ia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000. Bagi individu yang disabitkan, pesalah boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

 

Jadi, apakah langkah yang perlu pengguna ambil?

 

Pertama sekali, pengguna boleh memohon supaya wang pembayaran dipulangkan. Walaubagaimanapun, kebanyakkan penjual pasti enggan mengembalikan duit memandangkan mereka telah berniat untuk menipu pelanggan.

 

Seterusnya, anda boleh membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui saluran berikut:

 

Nombor Toll-Free: 1-800-886-800

WhatsApp: 019-279 4317

E-mel: e-aduan@kpdn.gov.my

 

Jika saluran di atas tidak dapat digunakan, anda juga boleh memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

 

Sebarang pertikaian mengenai barangan atau perkhidmatan boleh dibawa kepada tribunal tersebut, tetapi had tuntutan adalah berjumlah RM50,000 (maksimum) dan isu berkenaan mesti dibangkitkan dalam tempoh masa 3 tahun.

__

📝 Notis Penafian:

 

Artikel ini hanya untuk perkongsian pengetahuan undang-undang dan tujuan hiburan sahaja, ia bukan nasihat undang-undang secara rasmi.

 

Jika anda benar menghadapi situasi seperti yang di atas, sila dapatkan nasihat daripada peguam profesional.

Share:

Facebook
WhatsApp
Telegram
LinkedIn